Diharamkan British Testament Politik API

Pada 13 Mac 1947, Ahmad Boestamam selaku Ketua Angkatan Pemuda Insaf (API) telah ditahan oleh polis dan Special Branch Kerajaan Kolonial British dan dihadapkan ke mahkamah atas 3 tuduhan:

PERTAMA: Pada 21 Disember 1946, mengeluarkan sebuah buku kecil bernama "Testament Politik API" di Kuala Lumpur yang mengandungi perkataan-perkataan menghasut dan juga mengeluarkan perkataan "Merdeka Dengan Darah", iaitu perbuatan menghasut mengikut undang-undang.

KEDUA: Menerbitkan buku kecil tersebut adalah salah di sisi undang-undang.

KETIGA: Mencetak buku kecil tersebut, dituduh salah mengikut undang-undang seperti tuduhan kedua.

Ahmad Boestamam yang dibela oleh peguam John Eber (Malayan Democratic Union) telah didapati bersalah atas ketiga-tiga tuduhan dan dikenakan hukuman denda $1,000 atau 6 bulan penjara kerjaberat untuk tuduhan pertama, $200 atau 1 bulan penjara untuk tuduhan kedua, dan $200 atau 1 bulan penjara untuk tuduhan ketiga.[1]

Dengan bantuan wang dari rakan-rakan perjuangannya, beliau memilih untuk membayar denda bagi mengelak dari dipenjara.

Empat bulan kemudian, pada 16 Julai 1947, Angkatan Pemuda Insaf (API) telah diharamkan oleh Kerajaan Kolonial British.